
Ia adalah maklum balas terhadap soalan dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), Antony Lee, berhubung bagaimana kerajaan ingin memastikan generasi masa depan bersaing dalam ekonomi global.
“Pada masa lalu, tidak banyak penekanan terhadap sains dan kejuruteraan atau pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Kita tidak boleh mengikuti proses akademik ‘biasa’ yang kita ada pada masa lalu,” katanya pada majlis makan tengah hari dianjurkan AMCHAM.
Anwar menegaskan terdapat kekurangan pekerja berkemahiran tinggi, terutama di sektor kejuruteraan teknikal, di mana lebih 30,000 jurutera diperlukan.
Beliau berkata, bahasa Inggeris perlu diperkasakan di sekolah memandangkan ia bahasa pengantar bagi subjek lanjutan.
Anwar berkata, susulan itu kerajaan berusaha melaksanakan program dwibahasa (DLP) menyasarkan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Ditanya berkait peningkatan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2024 dan keutamaan, Anwar berkata tumpuan utama reformasi penjagaan kesihatan kerajaan adalah pendigitalan.
Dalam Bajet 2024, perdana menteri mengumumkan RM41.22 bilion diperuntukkan kepada kementerian itu, peningkatan sekitar 13.5% berbanding RM36.3 bilion pada Bajet 2023.
Pada Mac, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian merancang melaksanakan transformasi digital dalam khidmat kesihatan negara dalam tempoh empat ke lima tahun mendatang.
Anwar berkata, tumpuan juga terarah kepada peningkatan penjagaan kesihatan di kawasan pedalaman.