
Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh dalam kenyataan memaklumkan, dalam masa sama jabatan itu sedang menunggu laporan lengkap daripada Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seterusnya akan meneliti dakwaan tersebut.
“Sekiranya didapati berlakunya tindakan pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai terlibat, tindakan dan hukuman tegas akan diambil.
“Imigresen memandang serius kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran SOP, sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan,” katanya malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan jabatan tersebut, susulan sebuah portal berita yang melaporkan seorang pengarah syarikat pekerja asing yang dipercayai terlibat sebagai dalang sindiket pengemis, mendakwa dipukul oleh pegawai Imigresen semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 25 Jun.