PAS anggap Syed Husin patriot, sentiasa dahulukan rakyat

PAS anggap Syed Husin patriot, sentiasa dahulukan rakyat

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Syed Husin Ali disifatkan pemimpin teladan unggul kerana sikap tidak penting diri.

PAS berkata Syed Husin Ali beri banyak sumbangan sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial dan ahli politik.
PETALING JAYA:
PAS menganggap pengasas PKR Syed Husin Ali sebagai seorang pemimpin sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara, sambil menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata Syed Husin adalah seorang patriot dan menjadi teladan unggul kerana sikapnya tidak mementingkan diri.

“PAS menerima berita pemergian Syed Husin awal pagi ini dengan hati yang berat dan sedih.

“PAS percaya perasaan yang sama turut dikongsi banyak pihak lain atas jasa, sumbangan dan peribadi mulia beliau sepanjang hayatnya baik sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis mahupun sebagai seorang kawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Husin, 87, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Selayang sebelum menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini.

Beliau menjadi timbalan presiden PKR susulan penggabungan Parti Rakyat Malaysia, di mana beliau adalah presiden dan Parti Keadilan Nasional pada 2003.

Pada Dis 1974, Syed Husin, yang ketika itu profesor madya di Universiti Malaya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.

Beliau ditahan selama enam tahun susulan protes terhadap kerajaan oleh petani di Baling dan pelajar di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.