Kementerian Sumber Manusia laksana audit bebas ke atas HRD Corp, kata menteri

Kementerian Sumber Manusia laksana audit bebas ke atas HRD Corp, kata menteri

Kesuma akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi memastikan ketelusan siasatan.

hrd corp
Laporan Ketua Audit Negara 2024 dikeluarkan Khamis lalu mengesyorkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia dirujuk ke agensi penguatkuasaan.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menjalankan audit bebas ke atas Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) susulan isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menterinya Steven Sim berkata proses bagi memastikan ketelusan audit itu akan dilaksanakan juruaudit profesional pihak ketiga dengan pelantikan dijanga selesai selewat-lewatnya pada 31 Jul ini.

“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu dibangkitkan dalam LKAN dan PAC.

“Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Steven, audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.

“Satu pasukan petugas khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Kesuma Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudahcara siasatan sedang berjalan, meneliti laporan-laporan LKAN dan PAC, termasuklah juga hasil siasatan SPRM serta audit bebas.

“Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya.

LKAN 2024 dikeluarkan Khamis lalu mengesyorkan Kesuma merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Menurut laporan itu, terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip ‘secara agresif’ digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dan menegur ia bukan institusi pelaburan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.