Tak boikot, PAS Gua Musang akur Bersatu pertahan Nenggiri

Tak boikot, PAS Gua Musang akur Bersatu pertahan Nenggiri

Yang Dipertuanya, Azman Ahmad berkata ahli dan jentera PAS Gua Musang akan terus bekerja memenangkan calon Perikatan Nasional.

Azman Ahmad
Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata PAS Gua Musang akur dengan keputusan pucuk pimpinan dan tidak akan memboikot walaupun bukan parti itu yang bertanding. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Gua Musang akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti memberi laluan kepada Bersatu untuk meletakkan calon dalam PRK DUN Nenggiri memandangkan kerusi itu sejak dari awal diperuntukkan kepada sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Yang Dipertuanya, Azman Ahmad berkata ahli dan jentera PAS Gua Musang akan terus bekerja memenangkan calon PN yang akan bertanding menggunakan lambang bulan dan tiada istilah memboikot berlaku.

“Kita ahli parti akur keputusan parti dan akan terus berkerja menangkan calon PN. PAS kawasan tidak akan boikot walaupun bukan calon PAS bertanding,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tindakan PAS Gua Musang menghantar tiga nama kepada pimpinan negeri untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi bertanding pada PRK itu hanya bersifat cadangan sahaja.

“Keputusan akhir pucuk pimpinan tentukan, dan tak timbul isu kononnya kita nak cantas mana-mana pihak, ia proses biasa sahaja,” katanya.

Azman juga berharap, pucuk pimpinan PN termasuk dari Bersatu mempertimbangkan calon yang akan dipertaruhkan dalam PRK itu nanti sebolehnya anak tempatan dan dikenali penduduk.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan kerusi Nenggiri adalah milik Bersatu dan parti itu akan bertanding pada PRK bulan depan.

Katanya, PN mengambil prinsip kerusi berkenaan adalah milik parti yang menang sebelum ini.

PAS Gua Musang sebelum ini berharap calonnya diberi laluan bertanding PRK DUN Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

DUN Kelantan mengumumkan kekosongan luar jangka DUN Nenggiri berkuat kuasa 19 Jun lalu selepas Bersatu menyerahkan notis pelucutan keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.