Desak bubar GLC kerana kontroversi video tak munasabah, tegas Chow

Desak bubar GLC kerana kontroversi video tak munasabah, tegas Chow

Ketua menteri Pulau Pinang berkata George Town World Heritage Incorporated berperanan mengekalkan status tapak warisan Unesco.

chow
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata video promosi GTF 2024 tidak menunjukkan keseluruhan acara yang menonjolkan elemen kebudayaan setempat.
PETALING JAYA:
Ketua menteri Pulau Pinang menyifatkan desakan membubarkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan ekoran kontroversi video promosi George Town Festival 2024 (GTF 2024) sebagai tidak munasabah.

Mengulas desakan seorang wakil rakyat Bersatu, Chow Kon Yeow berkata George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) main peranan mengekalkan status George Town sebagai tapak warisan Unesco.

Katanya di Facebook, syarikat yang ditubuhkan 16 tahun lalu itu “menerima pelbagai pengiktirafan dan juga pernah diiktiraf sebagai pengurus terbaik Tapak Warisan Dunia di rantau Asia Tenggara.”

Dalam pada itu, Chow berkata video promosi GTF 2024 tersebut dimuat naik di platform digital sejak lebih sebulan lepas.

Menurutnya lagi, video itu tidak menunjukkan keseluruhan acara yang menonjolkan elemen kebudayaan setempat.

“Penganjuran kali ini melibatkan sembilan kumpulan penggerak budaya tempatan yang terdiri daripada 81 individu dalam pelbagai persembahan,” katanya.

Adun Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah, mendesak kerajaan negeri membubarkan GLC tersebut selepas video ‘teaser’ (iklan acah) GTF 2024 didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu.

Katanya, permohonan maaf oleh penganjur GTF 2024 tidak memadai untuk menutup ‘luka’.

Penganjur GTF 2024 pada Selasa memohon maaf dan menurunkan video tersebut di media sosial dan laman web bagi mengurangkan ‘salah faham’, susulan kritikan daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang.

Ketua Umno Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican, turut menyifatkan video “Here and Now” itu tidak mempamerkan kepelbagaian sebenar warisan George Town.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.