Bersatu pertaruh pegawai kerajaan di Nenggiri?

Bersatu pertaruh pegawai kerajaan di Nenggiri?

Sumber Bersatu berkata pimpinan parti telah bertemu Sun Najaman Muhamad untuk memaklumkan hasrat menjadikannya calon PN DUN Nenggiri.

bersatu
Bersatu dijangka membawa cabaran Perikatan Nasional (PN) pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini.
PETALING JAYA:
Bersatu berkemungkinan besar meletakkan calon langsung iaitu seorang pegawai kerajaan Kelantan di Dabong untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Nenggiri, bulan depan.

Sumber Bersatu memberitahu FMT berkata pimpinan parti dikatakan cenderung memilih Sun Najaman Muhamad untuk mempertahankan kerusi dimenangi pada PRN Ogos lalu.

Sun Najaman yang berasal dari Sungai Asap yang terletak bawah DUN Nenggiri bertugas sebagai penggawa di Dabong iaitu pegawai kerajaan negeri menguruskan hal ehwal pentadbiran daerah di dalam jajahan Kelantan.

“Pimpinan parti telah bertemunya untuk memberitahu hasrat menjadikannya sebagai calon.

Sun Najaman Muhamad
Sun Najaman Muhamad.

“Keputusan belum muktamad dengan parti hanya akan mengumumkan calon dua hari sebelum penamaan calon pada 3 Ogos depan,” kata sumber.

Sebelum ini, media melaporkan nama Sheikh Razali Hamad iaitu bekas ketua pemuda Umno Gua Musang turut dipertimbang sebagai calon berpotensi PN pada PRK Nenggiri, 17 Ogos depan.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK.

PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.