
Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sehingga kini tiada bantahan dikemukakan secara terbuka oleh ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau ahli akar umbi yang menunjukkan mereka positif terhadapnya.
Selain itu, katanya tiada pemimpin lain menawarkan diri bertanding jawatan presiden, timbalan dan naib, selepas Muhyiddin mengumumkan pelan terbabit.
“Malah hampir 10 ketua Bersatu negeri keluarkan kenyataan sokong rancangan itu, ini dibuat selepas mengambil maklum balas akar umbi.
“Sekali pun ada tak setuju namun apabila majoriti setuju dan keputusan sudah dibuat, maka mereka kena ikut atas semangat mempertahankan kesatuan parti,” katanya kepada FMT.
Pada Konvensyen Bersatu, 13 Jul lalu, Muhyiddin mengumumkan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dicadangkan memegang jawatan timbalan presiden, manakala Azmin Ali menggantikan kedudukan sedia ada Hamzah, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi.
Mengikut rundingan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
Sebelum ini, timbul spekulasi pertandingan bagi jawatan timbalan presiden Bersatu membabitkan Faizal selaku penyandang, dan akan dicabar Hamzah dan Azmin.
Namun, difahamkan Azmin hanya akan merebut tempat dalam barisan MPT pada pemilihan parti Oktober ini.