
Bercakap kepada pemberita selepas satu majlis di sini, Fahmi berkata kesediaan itu disuarakan dalam pertemuan bersama semua penyedia platform media sosial di Singapura, baru-baru ini.
“Mereka sedia dan faham Malaysia ini pasaran penting, rakyat Malaysia secara purata guna 30 hingga 50 gigabit (GB) data berbanding negara lain.
“Ini kerana usaha kita kurangkan harga internet berjaya, tetapi bagi saya bukan sahaja nak internet lebih laju dan meluas tetapi selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun Fahmi berkata ketika ini masih belum ada platform media sosial membuat permohonan untuk dilesenkan kerana kerangkanya baru diperkenalkan, Khamis lalu.
Minggu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Jan depan.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menyangkal dakwaan pembangkang tidak dilibatkan dalam pembentukan Majlis Media serta pembentukan kerangka kawal selia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Beliau berkata berkata SKMM sebaliknya telah mengadakan libat urus bersama mereka sebanyak tiga kali.
“Saya juga difahamkan SKMM akan buka sesi libat urus setelah beberapa perkara diputuskan secara dalaman, prosesnya, garis masanya dan ini akan diumumkan oleh SKMM dalam pertengahan minggu depan, jadi kita alu-alukan dan terima pandangan,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menutup platform media sosial sekiranya platform sosial media tidak mengikut arahan yang telah ditetapkan, Fahmi berkata ketika ini penyedia perkhidmatan itu akur dengan undang-undang negara.
“Saya sebut sebelum ini kita tak berhasrat untuk menutup atau menggantung mana-mana platform. Setiap negara ada hak melakukan apa yang mereka rasa sesuai dan selaras dengan perlembagaan masing-masing.
“Tapi di Malaysia kita terbuka selagi mana platform ini akur dengan undang-undang bagi mengekang jenayah,” katanya.