Pengurus besar PPK didakwa pecah amanah

Pengurus besar PPK didakwa pecah amanah

Nurizah Noordin mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah dengan menunaikan sekeping cek bernilai RM30,000 untuk kegunaan sendiri.

Gavel
Nurizah Noordin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda. (Gambar Pexels)
ALOR SETAR:
Seorang pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan pecah amanah melibatkan wang RM30,000 milik agensi itu pada 2019.

Tertuduh, Nurizah Noordin, 49, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan sekeping cek PPK Lubuk Batu atas penama Roslin Allias bernilai RM30,000 untuk kegunaan tertuduh sendiri di sebuah bank di Jitra pada pada 3.30 petang, 30 Jan 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda.

Sementara itu Roslin, 40, yang turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan bersubahat dengan Nurizah melakukan kesalahan berkenaan pada masa dan tempat sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapanya.

Roslin yang juga timbalan pengurus besar PPK didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 409 kanun yang sama.

Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang selain diarah menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rafiee Noordin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.