
MTUC berkata, kedua-dua jenis syarikat ini didakwa menggaji ketua pegawai eksekutif dengan gaji ratusan ribu ringgit, justeru mewujudkan jurang pendapatan terlalu besar melibatkan pekerja B40.
Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin, berkata jurang gaji itu melebihi 100 kali ganda daripada pekerja bawahan dan tidak boleh dibiarkan.
“Golongan CEO yang maha kaya ini tidak boleh dibiarkan menindas pekerja B40.
“Jurang gaji yang terlalu besar antara pekerja B40 dan CEO umpama langit dan bumi sehingga mewujudkan dua kasta yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, pihaknya mengecam tindakan pengurusan bank menyekat pekerja bank menghadiri kursus bagi peningkatan kemahiran, seperti disuarakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube).
Beliau berkata, MTUC gesa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memainkan peranan mendesak pengurusan bank bank untuk mengadakan sosial dialog dengan Nube.
“Kerajaan atau Kesuma wajar menggunakan tekanan ke atas bank sehingga sosial dialog dapat dicapai.”
Sementara itu, MTUC menyokong tindakan ahli Nube mengadakan piket ke atas semua bank, selain yakin semangat dan solidariti ahli mereka akan membuahkan hasil.
“Tindakan Nube adalah untuk memperjuangkan kebajikan dan faedah yang wajar di nikmati oleh pekerja-pekerja, tetapi telah dinafikan pengurusan bank yang tamak, sombong, dan angkuh.
“Bank mencatat keuntungan tinggi dengan kegigihan, usaha, dan pengorbanan pekerja-pekerja, tetapi pekerja tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya.”
Pada 22 Julai lalu, Lebih 250 ahli Nube menyertai piket aman di lima bank seluruh negara.
Nube dalam kenyataan, berkata bantahan itu untuk mengetengahkan pelbagai isu utama, termasuk cubaan berterusan pengurusan bank menghapuskan kesatuan, gaji terlalu tinggi dibayar kepada CEO, akses latihan, gaji adil, dan persekitaran kerja selamat.