Remaja menyamar staf hospital di Serdang ditahan

Remaja menyamar staf hospital di Serdang ditahan

Suspek berusia 14 tahun itu ditahan di Balai Polis Datuk Abdul Razak Baginda.

handcuff
Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Wan Azran berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. 
PETALING JAYA:
Seorang remaja ditahan polis selepas disyaki menyamar kakitangan sebuah hospital di Serdang dan turut menawarkan dirinya untuk membantu menjalankan satu pembedahan.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Wan Azran, berkata polis menerima laporan kejadian daripada pihak hospital semalam selepas mengesan kehadiran suspek berusia 14 tahun itu.

“Pihak hospital telah mengenal pasti kehadirannya iaitu individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu. Mereka terus menghubungi polis dan tangkapan dilakukan pagi tadi.

“Suspek ditahan di lobi hospital dan turut dirampas ialah baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Jika disabit dengan kesalahan menceroboh suspek boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan jika disabit kesalahan menyamar penjawat awam, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan berita tidak benar berkenaan kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.