
Mengambil kira majoriti undi 810 dimenangi bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim yang menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ab Aziz Yusoff pada PRN lalu, undi Orang Asli mampu menentukan pemenang.
Orang Asli membentuk sekitar 2,000 atau 10% daripada keseluruhan lebih 20,000 pengundi di DUN Nenggiri.
Mereka bertumpu di lima kawasan iaitu Tohoi, Simpor, Sungai Puian, Sungai Jenera, dan Sungai Wias.

“Undi Orang Asli 2,000 itu besar, sebab PRN lepas sekitar 800 majoriti. Siapa dapat rebut undi Orang Asli ‘significant’ kerana berdasarkan PRN lepas ia sangat bernilai, melainkan majoriti sebelum ini cecah berpuluh ribu undi,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia kepada FMT.
Katanya, antara langkah boleh diambil parti bertanding PRK itu adalah ‘usaha tersusun’ memujuk Orang Asli mengundi mereka.
“Kalau ada usaha tersusun untuk memujuk mereka (boleh berhasil), lagipun ketika PRK jentera lebih tersusun dan fokus untuk mengangkut pengundi Orang Asli. Mereka tidak akan keluar mengundi, tetapi perlu diangkut,” katanya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, pula berkata pada PRN lalu separuh pengundi Orang Asli tidak keluar mengundi dipercayai disebabkan protes membabitkan isu pencerobohan tanah mereka untuk pembalakan.

Katanya, ada gerakan halangan terhadap pembalakan di perkampungan Orang Asli ketika itu, kemudian NGO alam sekitar pula membela mereka sekali gus menyumbang kemungkinan kadar keluar mengundi rendah.
“Kalau mereka (parti) berupaya merawat (kemarahan itu) berpotensi tinggi dapatkan sejumlah besar sokongan Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata, mengambil kira senario peratusan keluar mengundi kekal sekitar 60%, parti yang mendapat sokongan Orang Asli sudah berjaya menang Nenggiri.
Hisommudin berkata, BN dilihat mempunyai kelebihan memandangkan Orang Asli diketahui deposit tetap mereka sejak sekian lama.
“Segmen Orang Asli sukar dipenetrasi PN (Perikatan Nasional) sebenarnya. Sepatutnya ia jadi deposit tetap BN. Kalau BN dah dapat 1,500 atau 1,800 undi Orang Asli, manakala kawasan kubu kuat Umno pula 4,500 undi, dah selesai.
“Untuk segmen Melayu, kalau BN boleh merawat undi Umno yang protes pada PRU dan PRN lepas, mereka juga ada peluang dan ruang,” katanya.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd Rizwadi Ismail daripada PAS.