Bekas pegawai kanan Mara didakwa terima rasuah RM45,000

Bekas pegawai kanan Mara didakwa terima rasuah RM45,000

Tertuduh, Fauzi Yaakob, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan dihadapinya.

Fauzi Yaakob (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima rasuah RM45,000, lapan tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah RM45,000, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Fauzi Yaakob, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu sebaik dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima RM45,000 melalui akaun Public Islamic Bank milik Amierul Shabir Hariri daripada Pengarah Kip Care Sdn Bhd, Abdul Rahman Richard Abdullah di cawangan Public Bank Kampung Baru antara 11 September 2015 dan 15 Februari 2016.

Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Syahzad Azad Sanusi memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Zali Shari yang mewakili tertuduh memohon jumlah minimum dengan alasan anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal.

“Anak guam saya juga sedang menjalani rawatan mata di Hospital Selayang dan beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa siasatan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM di sini setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.