‘Jangan tanya mengapa Muhyiddin tak hapus Akta Hasutan,’ Razali bidas Puad

‘Jangan tanya mengapa Muhyiddin tak hapus Akta Hasutan,’ Razali bidas Puad

Razali Idris berkata Puad Zarkashi sepatutnya meminta Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji menghapuskan Akta Hasutan.

Razali Idris menegaskan Puad Zarkashi tidak sepatutnya menyalahkan Muhyiddin Yassin berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu meminta Puad Zarkashi tidak menyalahkan Presidennya Muhyiddin Yassin berhubung ketiadaan usaha memansuhkan Akta Hasutan sepanjang 17 bulan pentadbirannya.

Ketua Penerangan Razali Idris berkata ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno itu sepatutnya mengalihkan desakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk meminta kerajaan perpaduan membawa usul pemansuhan akta terbabit di Dewan Rakyat.

Menurutnya, usaha memansuhkan akta didakwa zalim itu sepatutnya dibawa kerajaan perpaduan kerana Pakatan Harapan (PH) telah berjanji berbuat demikian jika memerintah Putrajaya.

“Saya nak minta Puad juga desak pemimpin kerajaan hari ini supaya bawa usul dan kita tuntut mereka tunaikan janji.

“Jangan tanya mengapa Muhyiddin tak hapuskan Akta Hasutan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Puad yang mempersoalkan mengapa pemimpin Bersatu tidak memansuhkan Akta Hasutan yang didakwa sebagai ‘zalim’ sepanjang PN menjadi kerajaan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan dalam kerajaan adalah hipoktrit kerana menggunakan Akta Hasutan terhadap presiden Bersatu itu.

Beliau merujuk pendakwaan terhadap Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahkamah Sesyen Gua Musang, Selasa lalu kerana mengeluarkan perkataan menghasut pada kempen PRK Nenggiri.

Kenyataan menghasut pada 14 Ogos itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 bagi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun dikatakan mempunyai 115 sokongan daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.