Lebih 120,000 murid Tahun 1 masih gagal kuasai 3M, perlu intervensi

Lebih 120,000 murid Tahun 1 masih gagal kuasai 3M, perlu intervensi

Ketua pengarah pendidikan berkata seramai 27.5% murid mewakili daripada keseluruhan 448,113 Tahun Satu itu perlu mengikuti program intervensi selama tiga bulan bermula Ogos.

sekolah rendah
Murid Tahun Satu akan disaring melalui penilaian bilik darjah untuk mengetahui tahap penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
PETALING JAYA:
Seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dikesan gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), selepas tiga bulan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebagai intervensi awal, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata seramai 27.5% murid mewakili daripada keseluruhan 448,113 Tahun Satu itu perlu mengikuti program intervensi selama tiga bulan bermula Ogos.

Mengikut pecahan, seramai 62,928 murid masih belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 1, katanya, manakala 45,465 murid belum menguasai literasi dan baki 13,669 murid belum menguasai numerasi.

“Ketiga-tiga kelompok murid ini disaring melalui penilaian pembelajaran bilik darjah (PBD) selama tiga bulan sejak sesi persekolah Mac lalu, manakala saringan awam telah kita buat pada Julai dan mereka mula masuk ke kelas intervensi (pemulihan) selama tiga bulan bermula Ogos.

“Setelah tiga bulan, mereka yang telah menguasai (3M) akan kembali ke arus perdana dan ke bilik darjah masing-masing manakala yang belum menguasai akan terus diberikan intervensi sehingga mencapai tahap penguasaan lebih dari minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media intervensi kurikulum KPM di Putrajaya.

Azman berkata murid-murid yang berkenaan akan menggunakan kit dan bahan bacaan yang disediakan oleh guru-guru terlatih.

Beliau turut memaklumkan satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk memantau program intervensi berkenaan, selain melihat kesesuaian kurikulum sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.