
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.24 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kita dapati kemalangan membabitkan sebuah van ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang melanggar belakang lori treler yang berhenti di bahu jalan.
“Terdapat dua orang mangsa cedera parah iaitu kakitangan KKM, seorang lelaki dewasa yang juga pemandu dan seorang perempuan dewasa,” katanya menerusi satu kenyataan, menurut Buletin TV3.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.
“Mangsa pertama iaitu pemandu ambulans dikejarkan ke Hospital Sri Aman manakala mangsa kedua seorang jururawat dihantar ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota membuat pembersihan di lokasi kejadian bagi memastikan selamat sebelum bertolak balik ke balai,” katanya.