Tiada remedi untuk bekas pekerja Utusan di Mahkamah Perusahaan, kata Mahkamah Persekutuan

Tiada remedi untuk bekas pekerja Utusan di Mahkamah Perusahaan, kata Mahkamah Persekutuan

Mahkamah kata kes mereka berkenaan tuntutan kewangan, bukan pemecatan salah oleh Utusan Melayu (M) Bhd.

Federal Court-Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang dikemukakan 211 bekas pekerja Utusan Melayu (M) Bhd untuk kebenaran membawa tindakan undang-undang terhadap syarikat itu di Mahkamah Perusahaan.
PUTRAJAYA:
Bekas pekerja Utusan Melayu (M) Bhd, yang kini tidak berfungsi lagi, tidak akan dapat bawa tindakan ke Mahkamah Perusahaan bagi pemecatan tidak adil selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk berbuat demikian.

Sidang hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Zabariah Yusof berkata ia tidak dipertikaikan bahawa pembubaran syarikat itu adalah bona fide dan wajar memandangkan ia menghadapi masalah kewangan yang serius.

Beliau berkata ini bukan kes melibatkan Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan.

“Ini bukan kes pemecatan salah oleh responden (Utusan).

“Perayu (bekas pekerja) sepatutnya mendapatkan relif terlebih dahulu di bawah Akta Syarikat kerana ini adalah tuntutan kewangan semata-mata.”

Hakim memetik Seksyen 451(2) Akta Syarikat yang menetapkan kebenaran mesti diperoleh daripada mahkamah yang menangani penggulungan berkenaan, sebelum prosiding undang-undang boleh dibawa ke atas syarikat dalam penggulungan sukarela pemiutang.

Turut menganggotai sidang hakim yang menolak rayuan dikemukakan oleh 211 bekas kakitangan Utusan itu ialah Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Bekas pekerja Utusan pergi terus ke Mahkamah Perusahaan untuk mendapatkan remedi berbentuk pampasan terhadap syarikat itu.

Bagaimanapun, pihak penyelesai (liquidator) membangkitkan bantahan awal dalam prosiding itu, mengatakan Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Mereka berkata bekas pekerja itu sepatutnya sama ada membangkitkan tuntutan mereka dalam proses penggulungan, atau mendapatkan kebenaran daripada mahkamah yang menangani penggulungan untuk membawa kes ke Mahkamah Perusahaan.

Mahkamah Perusahaan bersetuju dengan pihak penyelesai.

Bekas pekerja itu kemudiannya memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan, yang menyebabkan rayuan sekarang.

Rajvinder Singh, Afdhilani Jusoh dan Sera Foong mewakili Utusan selaku peguam, manakala Tan Chong Li, Abdul Halim Abdul Karim dan Tuan Earn Yee bertindak bagi bekas pekerja.

Utusan Malaysia, akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini, dan Kosmo!, sebuah lagi harian yang diterbitkan oleh syarikat itu, henti operasi pada 9 Okt 2019 kerana masalah kewangan.

Seramai 862 pekerja Utusan terkejut dengan notis yang dikeluarkan oleh syarikat itu pada hari ia berhenti beroperasi.

Utusan Malaysia kini diterbitkan di bawah pemilik baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.