RM13 juta bantuan banjir untuk Kedah

RM13 juta bantuan banjir untuk Kedah

Jumlah itu termasuk bantuan kewangan disalurkan agensi persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di PPS Stadium Suka Menanti, Alor Setar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur rosak akibat banjir di Kedah.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk bantuan kewangan disalurkan agensi persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, kerajaan persekutuan akan memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan akibat bencana itu dapat diminimumkan pada masa hadapan, lapor Berita Harian.

“Di Kota Setar sahaja, kita peruntukkan RM3 juta dan bagi seluruh Kedah kita agihkan RM10 juta supaya apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah dapat dibuat segera selepas banjir.

“Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan setiausaha kerajaan negeri (SUK) selaraskan hal ini supaya disegerakan.

“Tujuan saya datang adalah untuk pastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat termasuk pesawah padi disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah.

Hadir sama Ketua Pengarah Nadma Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Aminurrahim Mohamad.

Anwar berkata, banjir di Kedah secara keseluruhannya terkawal dan semua agensi menjalankan tugas dengan baik bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Pada masa sama, perdana menteri meminta mangsa banjir bersabar dan semua pihak berdoa supaya banjir segera surut bagi membolehkan orang ramai pulang ke rumah segera.

“Kita sudah sampaikan bantuan RM1,000 kepada orang ramai dan saya dengar menteri besar juga ada tambah bantuan juga.

“Apa yang penting segala kerosakan, kerugian harta, haiwan ternakan dan hasil tanaman akan diteliti untuk ringankan beban ditanggung mereka.

“Bagi sekolah kerajaan atau negeri yang rosak kerana dijadikan pusat penempatan, ia akan ditampung kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan diuruskan menteri pendidikan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.