Penganggur didakwa bunuh pereka dalaman

Penganggur didakwa bunuh pereka dalaman

Tertuduh, Lim Wah Siong, 50, didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, 14 Sept lalu.

Seorang penganggur, Lim Wah Siong, 50, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman di Bandar Sri Damansara.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman dalam kejadian di Bandar Sri Damansara, 14 Sept lalu.

Tertuduh, Lim Wah Siong, 50, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, pada 9 malam, 14 Sept lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 8 Nov depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 16 Sept lepas, media melaporkan seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan, termasuk tangan dan kepala.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 3 pagi, 21 September lalu kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.