Muat naik perbualan WhatsApp membawa ke mahkamah

Muat naik perbualan WhatsApp membawa ke mahkamah

Seorang wanita berusia 42 tahun didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seorang individu dengan cara memuat naik perbualan WhatsApp di Facebook.

gavel
Nurfateha Othman yang didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seorang individu dituduh mengikut Seksyen 509 KK, yang membawa hukuman penjara atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. (Gambar Reuters)
MELAKA:
Seorang bekas wartawan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Ayer Keroh, atas pertuduhan melakukan penghantaran jelik terhadap seorang individu di laman sosial.

Di Mahkamah Sesyen, Nurfateha Othman, 42, didakwa atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu Mohd Dzuhairy Hussain, 43.

Nurfateha yang kini bekerja sebagai jurugambar bebas didakwa melakukan perbuatan itu pada awal Jan 2024 sekitar 2 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Di Mahkamah Majistret pula tertuduh didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan terhadap individu sama, dengan cara memuat naik gambar butiran dan perbualan WhatsApp di Facebook.

Nurfateha dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap wanita itu, manakala bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon jaminan RM7,000.

Mohamed Musthafa selaku peguam yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah, atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak dan suaminya bekerja sebagai penjual roti dengan gaji RM1,900 sebulan.

Hakim Azaraorni Abd Rahman membenarkan jaminan RM7,000 manakala Majistret Khairunnisak Hassni menetapkan RM3,000.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan ke atas tertuduh iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan.

Tarikh 12 Nov ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.