
Mengikut tuduhan pertama, Ong Li Ren, 30, dan kekasihnya Ng Hui Xin, 27, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 2,688g di sebuah pangsapuri di Taman Seri Setanggi pada 28 Sept lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa secara bersama mengedar dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 164g di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 39B(1)(a).
Seorang lagi tertuduh, Lim Wen Foong, 35, didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 4,258.3g di sebuah rumah di Taman Gaya pada 28 Sept lepas mengikut Seksyen 39B(1).
Lim juga berdepan tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 5g di tempat, waktu dan tarikh serupa mengikut Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang dari tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
Lelaki itu juga dituduh mengedar dadah jenis nimetazepam dengan berat kasar 15.8g di tempat, waktu dan tarikh sama bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh mengangguk faham sejurus tuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, Ong berdepan tuduhan mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 293.30g di tempat letak kenderaan Taman Sentosa pada 28 Sept lepas mengikut Seksyen 39B(1)(a) .
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dan R Nevina, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Jan depan.
Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas dadah lebih RM1.445 juta dalam empat serbuan sekitar daerah ini bulan lepas.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata, siasatan awal polis percaya ketiga-tiga suspek menjadi dalang dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.
Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak Ogos lepas itu menjadikan pangsapuri serta rumah teres dua tingkat sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengisi dadah dalam paket minuman segera sebelum dijual antara RM200 hingga RM300 sepaket.