Polis buru individu menyamar timbalan KPN di WhatsApp

Polis buru individu menyamar timbalan KPN di WhatsApp

Individu itu dikesan menyamar dalam satu kumpulan sembang aplikasi WhatsApp dinamakan 'FRIENDSHIP GROUP'.

ayob
Polis menegaskan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay tidak pernah mengendalikan sebarang kumpulan sembang khas di WhatsApp. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis sedang mengesan individu menyamar sebagai Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay di WhatsApp.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata individu berkenaan dikesan melakukan penyamaran itu dalam satu kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang dinamakan ‘FRIENDSHIP GROUP’.

“Dalam kumpulan sembang itu, polis telah mengesan satu pesanan individu yang mengaku sebagai ‘Datuk Ayob Khan Mydin’ serta mengajak individu lain untuk turut menyertai kumpulan sembang itu.

“PDRM ingin menegaskan bahawa Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay tidak pernah mengendalikan sebarang kumpulan sembang khas di aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan.

Rusdi berkata, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej PDRM.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan menjalankan siasatan terhadap pemilik nombor dan individu berkaitan yang cuba menggunakan nama pimpinan tertinggi PDRM mahupun orang lain, berdasarkan lunas undang-undang.

Rusdi turut menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti penipuan dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.