Pemimpin Bersatu bidas dakwaan surat layang kritik pemilihan parti

Pemimpin Bersatu bidas dakwaan surat layang kritik pemilihan parti

Mohd Yazid Mohd Yunus menyifatkan surat disebarkan sejak semalam hanya dakyah musuh untuk memberi persepsi negatif terhadap Bersatu.

muhyiddin hamzah
Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding pada pemilihan Bersatu penggal 2024-2027. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu membidas penularan ‘surat layang’ yang mendakwa wujud pelanggaran etika termasuk membabitkan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin pada pemilihan parti berakhir minggu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus, menyifatkan surat layang disebarkan sejak semalam hanya dakyah musuh untuk memberi persepsi negatif terhadap parti yang mengetuai Perikatan Nasional (PN) itu.

Yazid yang menang kerusi MPT menegaskan, ahli Bersatu matang dalam membuat penilaian terhadap calon menawarkan khidmat selain terus menyokong Muhyiddin Yassin selaku presiden dan Hamzah sebagai bakal timbalan presiden.

“Tiada kartel seperti didakwa dan ia hanya dakyah musuh,” katanya kepada FMT mengulas satu daripada tuduhan dalam surat layang itu yang mendakwa kewujudan kartel disebabkan kelemahan Muhyiddin mengawal Hamzah.

Surat itu mendakwa Hamzah dan kumpulannya dilihat menguasai kempen serta memanipulasi keputusan pemilihan yang mengakibatkan ketidakstabilan dan ketidaktelusan dalam proses pemilihan Bersatu.

Pelanggaran etika lain turut membabitkan penganjuran kempen solidariti dianjurkan ‘kem Hamzah’ yang didakwa melobi calon pilihan serta menyebarkan fitnah terhadap individu lain.

Surat itu turut mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang didakwa lemah mengakibatkan manipulasi dan salah guna kuasa, sehingga ramai meragui keputusan telah diumumkan.

FMT telah menghubungi Hamzah untuk menjawab dakwaan dalam surat tanpa nama itu.

Pada pemilihan Bersatu untuk penggal 2024-2027, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding manakala ‘trio pelan kompromi’ iaitu Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee serta bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu menguasai kerusi naib presiden.

Sementara itu, beberapa nama besar tersenarai sebagai ahli MPT antaranya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ahli Parlimen Machang), Wan Saiful Wan Jan (Ahli Parlimen Tasek Gelugor), Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dan Rosol Wahid (Ahli Parlimen Hulu Terengganu).

Turut terpilih Afif Bahardin (Adun Taman Medan), Dr Yadzil Yaakub (Adun Bemban), dan Sahruddin Jamal (bekas menteri besar Johor).

Antara calon nama besar kecundang ialah bekas menteri Redzuan Yusof.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.