
Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Shahid berkata, perkara yang dibangkitkan dalam permohonan semakan kehakiman itu tidak boleh diputuskan melalui prinsip undang-undang atau mahkamah.
“Mahkamah berpendapat, nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru, ia bukan perkara yang sesuai dan wajar disemak semula di hadapan mahkamah ini,” katanya.
Ahmad Kamal memutuskan bahawa prerogatif belas kasihan, menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, melibatkan penggunaan budi bicara Agong secara langsung, bukan kuasa yang dipegang atau diwakilkan kepada Lembaga Pengampunan.
“Mahkamah ini menganggap bahawa prerogatif belas kasihan bawah Perkara 42 perlembagaan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” katanya sambil mengarahkan semua pihak menanggung kos sendiri.
Beliau berkata, Badan Peguam pada dasarnya cuba memisahkan keputusan Agong daripada nasihat Lembaga Pengampunan.
“Saya berpandangan bahawa percubaan pemohon (Badan Peguam) membezakan antara mencabar nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan sebenar Agong adalah cacat. (Perkara ini) tidak boleh dicabar,” katanya.
Badan Peguam memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi pada 26 April, menamakan Lembaga Pengampunan dan Najib sebagai responden.
Badan itu memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan yang mengurangkan separuh hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. Dia memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Peguam Zainur Zakaria dan Yeo Yang Poh mewakili Majlis Peguam, manakala Shafee Abdullah, Farhan Shafee dan Wan Arpan Wan Othman mewakili Najib.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi pihak peguam negara.
Zainur memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan daripada Majlis Peguam sama ada akan memfailkan rayuan atau tidak.