
Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, ketika ini segala cakap-cakap pembentukan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya bersifat spekulasi yang dihangatkan dengan pelbagai kenyataan sesetengah pihak.
“Tetapi perlu hati-hati (buat keputusan) kerana bila ada desakan seperti tak perlu kerjasama dengan BN, tetapi yakinkah PH akan terus memerintah selepas PRU16 (tanpa kerjasama antara parti kerajaan perpaduan)?.
“Sekarang satu kerusi Parlimen pun terlalu penting untuk kekalkan penguasaan perpaduan disebabkan kebangkitan lawan terutama PAS yang menguasai pantai timur Semenanjung,” katanya mengulas laporan FMT semalam, PH Sabah cenderung membentuk pakatan dengan GRS pada PRN.
Memetik sumber, pemimpin PH Sabah dikatakan berulang kali menyatakan kecenderungan supaya pakatan itu langsung tidak melibatkan BN pada PRN dijangka tahun depan.
Ketika ini, kerajaan perpaduan disokong 147 Ahli Parlimen antaranya daripada PH, BN, GRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan, tidak termasuk enam wakil Bersatu menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.
Namun, Warisan menjadi pembangkang di Sabah selain BN yang bertukar ke blok itu pada 10 Jan tahun lalu susulan keputusannya menarik sokongan terhadap Hajiji Noor sebagai ketua menteri.
Tempat BN di Sabah yang dipimpin Bung Moktar Radin diganti PH dengan beberapa pemimpinnya dilantik sebagai menteri termasuk ketuanya Christina Liew yang memegang portfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri.
Sebelum ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah selain tidak menolak kemungkinan penyertaan GRS.
Dalam pada itu, Romzi berkata alternatif lain jika tiada persetujuan pembentukan kerjasama adalah membenarkan mereka bertembung sesama sendiri, namun risikonya tiada parti akan mendapat mandat mutlak daripada rakyat.
“Ada kemungkinan jadi seperti kerajaan Madani (bentuk kerajaan pasca PRU15), lawan dahulu selepas itu baru bergabung kerana sekarang tiada parti kuat untuk membentuk pemerintahan sendiri seperti di persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata gabungan BN dan PH tanpa kerjasama GRS mungkin cuba ditampilkan pada PRN untuk menunjukkan kelangsungan kerjasama di Putrajaya.
“Kerjasama erat antara PH dan BN di Sabah mesti dipamerkan demi menunjukkan persepsi bahawa kerajaan perpaduan boleh melaksanakan dasar untuk kepentingan rakyat Sabah secara khususnya,” katanya.
Beliau juga sangsi kerjasama GRS dengan PH dan BN akan menjadi kenyataan kerana wujud sejarah hitam antara ‘Bung dan Hajiji’.
“Kita faham sepak terajang GRS ini mengapa mahu bekerjasama dengan PH, bukan dengan Umno.
“Yang pasti, jika GRS bergabung dengan Umno, parti dari Semenanjung itu dilihat lebih berpengaruh dan besar kemungkinan menang lebih banyak kerusi (berbanding GRS),” katanya.