
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata aduan disampaikan kepadanya itu berkaitan kenyataan dibuat Hassan secara terbuka.
Bagaimanapun, Fuziah tidak mendedahkan ucapan atau kenyataan dibuat Hasaan itu.
“Oleh itu, saya telah memajukannya kepada Lembaga Disiplin supaya perkara berkenaan dapat disiasat.
“Aduan boleh dibincangkan dalam mekanisme dalaman parti,” katanya kepada FMT.
FMT telah menghubungi Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Tan Yee Kew untuk mendapat butiran lanjut berkait siasatan terhadap Hassan.
Terdahulu, FMT memetik sumber melaporkan Hassan dipanggil Lembaga Disiplin PKR atas dakwaan merosakkan imej parti kerana kenyataan terbukanya mengkritik kerajaan dalam penganugerahan rangkaian 5G kedua negara kepada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).
Sumber enggan dikenali itu memberitahu bekas ketua PKR Johor itu juga dituduh parti kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hassan sebelum ini memberitahu FMT, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi restu dan memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menulis apa sahaja kecuali jangan mengkritik raja.
Awal tahun ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memberi ‘teguran keras’ kepada Ahli Parlimen dua penggal dan bekas ketua PKR Johor itu supaya berhenti campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti sekutu Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan itu susulan tindakan Hassan menggesa Umno menggantikan presidennya, Zahid Hamidi, bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu terhadap parti itu.
Hassan dilihat sebagai pengkritik pentadbiran Anwar yang lantang. Terbaharu, beliau menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 menyentuh soalan penahanan di rumah.
Perkembangan ini ketika bekas perdana menteri Najib Razak sedang mencari jalan perundangan untuk menguatkuasakan apa yang dikatakan ‘adendum’ yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.