Banjir: Keselamatan sempadan negara di tahap tertinggi, kata Zahid

Banjir: Keselamatan sempadan negara di tahap tertinggi, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata kawalan sempadan berjalan seperti biasa walaupun negeri bersempadan Thailand terjejas banjir seperti Kelantan, Kedah, dan Perlis.

Zahid Hamidi
Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan banjir, di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Keselamatan sempadan negara berada pada tahap tertinggi walaupun beberapa negeri sedang dilanda banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata kawalan di sempadan tetap berjalan seperti biasa membabitkan penugasan tentera dan polis.

“Dari segi kawalan itu tetap berjalan sebab kita ada anggota Rejimen Sempadan, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terus mengadakan kawalan di sempadan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir.

Terdahulu, Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata lima daripada 13 pos statik PGA dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok telah ditutup akibat terjejas banjir.

Beliau berkata, kelima-lima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.

Mengenai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir, Zahid berkata, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduan dan SOP bagai membantu semua calon terlibat.

“Saya juga minta mangsa banjir untuk memantau anak-anak sewaktu musim banjir ini,” katanya.

Peperiksaan SPM 2024 dijadual pada 2 Dis hingga 6 Februari 2025.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 3.15 petang, sebanyak 49,017 mangsa daripada 14,901 keluarga ditempatkan di 400 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri terjejas.

Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Perlis, dan Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.