UASA bukan penentu lulus atau gagal, kata KP Pendidikan

UASA bukan penentu lulus atau gagal, kata KP Pendidikan

Azman Adnan jawab kebimbangan ibu bapa di media sosial yang mendakwa markah minimum lulus menerusi UASA diturunkan kepada 20%.

Kementerian Pendidikan berkata tahap pencapaian murid dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) akan digunakan untuk membantu meningkatkan tahap pembelajaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua pengarah pendidikan menjelaskan skema pemarkahan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bukan menentukan seseorang murid itu gagal atau lulus seperti dibimbangi ramai ibu bapa.

Mengulas laporan FMT hari ini berhubung isu itu, Azman Adnan berkata Kementerian Pendidikan telah menambah baik pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan mudah difahami masyarakat.

Menurutnya, huraian tahap penguasaan (TP) murid mengikut mata pelajaran dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) iaitu modul lama PBD dipermudahkan dengan memberi tafsiran dalam bentuk markah dan gred seperti berikut:

Cemerlang – A (82% hingga 100%)
Kepujian – B (66% hingga 81%)
Baik – C (50% hingga 65%)
Memuaskan – D (35% hingga 49%)
Mencapai tahap minimum – E (20% hingga 34%)
Belum mencapai tahap minimum – F (0% hingga 19%)

Sehubungan itu, Azman berkata: “UASA bukan untuk menentukan seorang murid itu lulus atau gagal. Tidak digunakan membandingkan prestasi antara murid, sekolah, daerah atau negeri.”

Jelasnya, tahap pencapaian murid digunakan sebagai maklum balas membantu meningkatkan tahap pembelajaran.

“Guru boleh memaklumkan dan melaporkan kepada ibu bapa tahap pencapaian murid dalam bentuk peratusan dan gred yang dicapai murid, bukan lulus atau gagal,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

Azman juga menjelaskan walaupun soalan UASA tidak setara tetapi dihasilkan mengikut piawaian sama bagi menguji aspek akademik murid melalui ujian bertulis sahaja.

“Jadi markah dicapai murid, digunakan menentukan sama ada murid sudah menguasai apa yang dipelajari atau memerlukan bimbingan selanjutnya sebelum mencapai tahap seterusnya,” kataya.

Terdahulu, FMT melaporkan gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) supaya KPM menjawab segera kebimbangan ibu bapa di media sosial yang mendakwa markah lulus UASA kini 20% bukannya 40% seperti sebelum ini.

Rata-rata ibu bapa dan bekas guru melahirkan kebimbangan penurunan pemarkahan itu akan memberi kesan kepada semangat murid untuk belajar.

UASA diperkenalkan pada sesi akademik 2022/2023 sebagai instrumen penilaian murid tahun 4,5 dan 6 di peringkat sekolah rendah manakala tingkatan 1, 2 serta 3 bagi sekolah menengah yang dinilai berdasarkan PBD.

Penilaian itu diperkenalkan dalam sistem pendidikan susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), masing-masing pada 2021 serta 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.