Penolong kanan didakwa amang seksual murid

Penolong kanan didakwa amang seksual murid

Bagaimanapun tertuduh, Teh Chau Teik, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan September lalu.

mahkamah sesyen majistret ipoh
Guru penolong kanan kokurikulum, Teh Chau Teik, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid.
PETALING JAYA:
Seorang guru penolong kanan kokurikulum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid pada September lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Teh Chau Teik, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu ke atas murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual dengan memeluk dari belakang dan mencium mulut mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan dalam sebuah kelas di sekolah rendah di Bandar Baru Sri Klebang, dekat Chemor, di sini pada 6.40 pagi, 11 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa sama dalam sebuah lagi kelas di sekolah sama pada 6.40 pagi, 26 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah menawarkan jaminan tidak kurang RM50,000 kepada tertuduh serta syarat tambahan difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, S Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan bulanan RM7,000 dan perlu menanggung ibu dan tiga adiknya termasuk seorang cacat mental.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 17 Jan tahun depan untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.