
Dalam petisyen rayuan difailkan peguam cara Tetuan Wong Kian Kheong di Mahkamah Rayuan hari ini, mereka berkata, hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang apabila memerintahkan bahawa suatu kes prima facie telah dibuktikan melibatkan empat pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu.
“Yang Arif Hakim perbicaraan terkhilaf apabila gagal menilai kebolehpercayaan saksi pendakwaan, terutama SP13 (bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali),” menurut petisyen.
Peguam cara berkata, hakim perbicaraan telah melanggar Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah gagal mempertimbangkan semua keterangan pada akhir perbicaraan seperti yang dikehendaki undang-undang apabila mensabitkan Syed Saddiq atas pertuduhan.
“Tiada penilaian yang adil dan tidak mempertimbangkan sepenuhnya terhadap ekshibit-ekshibit pembelaan yang telah dikemukakan,” katanya.
Peguam cara juga mendakwa, hakim bicara yang lewat menyampaikan alasan penghakiman telah menjejaskan kelebihan audio-visual yang dikemukakan ketika mendengar kes itu.
Mereka turut maklum alasan penghakiman hanya disampaikan 13 bulan selepas keputusan dibuat.
“Penangguhan telah menjejaskan selain memprejudiskan perayu dalam aspek keterangan yang memihak kepada pembelaan,” kata dokumen berkenaan.
Peguam Syed Saddiq berkata, hakim perbicaraan telah terkhilaf apabila memutuskan pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan menjadualkan rayuan didengar pada 19 dan 20 Mac depan.
Bekas peguam cara negara, Yusof Zainal Abiden, Hisyam Teh Poh Teik, Alex Tan, Low Wei Loke, Kee Wei Lon, dan Beston Tan, mewakili Syed Saddiq bagi rayuan.
Pada 9 Nov tahun lalu, Syed Saddiq, yang juga bekas menteri belia dan sukan, disabit bersalah bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu dan secara tidak salah guna RM120,000.
Bagi tuduhan CBT, mahkamah mengenakan tiga tahun penjara dan memerintahkan Syed Saddiq disebat sekali.
Beliau dijatuhi dua tahun penjara dan satu lagi sebatan atas pertuduhan penyelewengan dan tambahan dua tahun penjara, bagi setiap kesalahan pengubahan wang.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi CBT dan penyelewengan tidak jujur berjalan serentak, manakala sabitan hukuman bagi pengubahan wang dijalankan bersama.
Justeru, Syed Saddiq perlu menjalani lima tahun pemenjaraan.
Dalam 22 muka surat alasan penghakiman dikeluarkan pada 28 Nov, Hakim Azhar Abdul Hamid, berkata hukuman dikenakan terhadap Syed Saddiq tidak berlebihan memandangkan mahkamah mengambil kira statusnya sebagai tokoh dan model ikutan bagi orang muda.