Pemandu treler rempuh 4 kenderaan di Gua Musang positif dadah

Pemandu treler rempuh 4 kenderaan di Gua Musang positif dadah

Suspek berusia 28 tahun kini direman selamat empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes yang mengorbankan seorang penuntut IPG itu.

Rabu lepas, seorang penuntut wanita di sebuah IPG di Besut, Terengganu maut manakala 10 penuntut yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan empat kereta yang dilanggar sebuah treler di Jalan Gua Musang–Kuala Lipis. (Gambar IPD Gua Musang)
KOTA BHARU:
Pemandu treler yang menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan seorang penuntut di sebuah Institut Pendidikan guru (IPG) Besut, Terengganu di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Rabu lepas, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman selamat empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas, kumpulan 11 penuntut IPG yang menaiki empat kenderaan iaitu dua Perodua Axia dan masing-masing sebuah Proton X50 dan Proton Saga dari arah Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan pulang ke IPG di Besut, sebelum dirempuh sebuah treler yang hilang kawalan dalam kejadian 6.45 pagi.

Siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berkenaan dari Kuala Lipis, Pahang menghala ke Gua Musang, Kelantan hilang kawalan dan melanggar sisi kanan kedua-dua kereta Perodua Axia, Proton Saga dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton X50 cedera di bahagian kepala, penumpang hadapan dan seorang penumpang belakang cedera manakala seorang lagi penumpang belakang maut.

Pemandu kereta Perodua Axia pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala enam lagi penuntut hanya mengalami kecederaan ringan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.