Jangan manipulasi data 10,000 tak hadir kertas BM SPM, kata NUTP

Jangan manipulasi data 10,000 tak hadir kertas BM SPM, kata NUTP

Setiausaha Agungnya, Fouzi Saigon berkata isu tersebut turut melibatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan ibu bapa sendiri.

spm
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 2 Jan lalu berkata kira-kira 10,000 calon masih belum mengesahkan kehadiran mereka untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa semua pihak tidak memanipulasi data dan menimbulkan isu berhubung 10,000 pelajar gagal hadir kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Saigon yang akui angka pelajar tidak hadir itu tinggi namun berpandangan isu tersebut turut melibatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan ibu bapa sendiri yang mendidik sejak kecil.

“Peranan ibu bapa dan pendidikan kekeluargaan amat perlu kerana ibu bapa punca anak-anak ini tiada wawasan hidup.

“Kecuaian ibu bapa dalam mendidik anak hingga mereka sendiri sukar mengawal dan memberikan arahan yang perlu anak patuhi. Selepas SPM nanti timbul pula calon yang gagal mendapat LMS iaitu gagal lulus Bahasa Melayu atau Sejarah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas berhubung kritikan beberapa pihak termasuk pemimpin politik yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat mengapa 10,000 pelajar gagal hadir kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM 2024.

Pada 2 Jan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sekitar 10,000 pelajar masih belum mengesahkan kehadiran mereka untuk peperiksaan SPM.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata 10,000 calon SPM 2024 tidak hadir pada hari pertama, iaitu pada kertas 1 dan kertas 2 Bahasa Melayu, namun jumlah itu menurun lebih 4,000 orang berbanding pada SPM 2023.

Beliau berkata jumlah itu juga merupakan paling rendah dalam tempoh empat tahun, dengan paling parah, adalah pada calon SPM 2021, iaitu sebanyak 19,601 orang.

“Apabila disemak dengan pihak berkuasa, dalam keseluruhannya, daripada jumlah keseluruhan 9,733 calon SPM 2024 yang tidak hadir bagi kertas Bahasa Melayu 1, didapati sebanyak 3,124 orang, atau 32% merupakan calon daripada sekolah bukan kerajaan (calon persendirian, swasta).

“Maka, 6,609 orang, atau 68% adalah calon sekolah KPM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.