Penjelasan Anwar berkait titah adendum timbul banyak persoalan, dakwa pemimpin PAS

Penjelasan Anwar berkait titah adendum timbul banyak persoalan, dakwa pemimpin PAS

Ahmad Fadhli Shaari berkata pelbagai persoalan berbangkit berbanding jawapan dalam penjelasan Anwar Ibrahim berkait titah adendum tahanan rumah Najib Razak.

Ahmad Fadhli Shaari meminta Anwar Ibrahim bertanggungjawab dalam isu berkait titah adendum tahanan rumah Najib Razak.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mendakwa penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sabtu lalu berkait titah adendum tahanan rumah Najib Razak telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata pelbagai persoalan berbangkit termasuk mengapa titah itu tidak dilaksanakan sehingga bekas perdana menteri itu membuat permohonan ke mahkamah.

Ahli Parlimen Pasir Mas turut mempertikaikan naratif dimainkan Anwar yang Najib ditangkap ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, dibicarakan sewaktu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan dihukum semasa Ismail Sabri Yaakob mengetuai Putrajaya.

“Hakikatnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu—khususnya pimpinan DAP dan PKR menjadikan pendakwaan terhadap Najib sebagai agenda utama mereka sehingga mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mengapa peranan mereka kini cuba dipadamkan?,” katanya di Facebook selain meminta Anwar untuk bertanggungjawab.

Sabtu lalu, Anwar menjelaskan surat berhubung titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah dihantar kepada peguam negara.

Beliau menjelaskan perkara tersebut bagi menyangkal dakwaan kerajaan sorok titah tersebut.

Anwar juga berkata tiada apa yang menghalang Najib membuat rayuan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Minggu lalu, Najib peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang merupakan urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, mengesahkan tidak menerima sebarang titah adendum daripada Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.

Pada 2 Feb tahun lalu, lembaga tersebut mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.

Pada 3 Jan lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.