Suspek ke-6 kes pukul OKU ditahan

Suspek ke-6 kes pukul OKU ditahan

Polis berkata lelaki itu ditahan semalam ketika memberi keterangan di IPD Kemaman.

oku langgar kedai
Tangkap layar video tular menunjukkan lelaki OKU dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu.
CHUKAI:
Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terlibat memukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, menjadikan jumlah mereka yang ditahan setakat ini kepada enam orang.

Pemangku Ketua Polis Kemaman Wan Muhamad Ja’afar berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di IPD Kemaman.

“Polis juga memperoleh perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis ini,” katanya semasa dihubungi.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dengan semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Sementara itu, di Putrajaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi kenyataan mengesahkan mangsa yang dipukul merupakan pemegang kad OKU kategori mental sejak 19 Mac 2023.

JKM juga memaklumkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah memberi bantuan intervensi krisis dan sokongan psikologi (KSP) kepada keluarga mangsa bagi membantu menstabilkan emosi mereka susulan kejadian itu.

“JKM kesal dengan kejadian itu yang sangat tidak berperikemanusiaan dan di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 17 Jan lepas, rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di pasar tani itu tular di media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal, terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan untuk jualan terjatuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.