Ada guru kerja sambilan untuk bayar hutang hidup mewah, dedah kesatuan

Ada guru kerja sambilan untuk bayar hutang hidup mewah, dedah kesatuan

iGuru berkata ada antaranya dikesan berusaha tambah pendapatan akibat beban kos hidup tinggi khususnya guru berkhidmat di bandar besar.

sekolah
Presiden iGuru Mohd Azizee Hasan berkata masih ramai guru komited dengan profesion sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dan guru melakukan kerja sambilan amat kecil bilangannya.
PETALING JAYA:
Sebuah kesatuan guru mendedahkan segelintir pendidik melakukan kerja sambilan dipercayai kerana ingin membayar hutang akibat terperangkap untuk hidup mewah.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata ada antara mereka juga dikesan berusaha menambah pendapatan akibat beban kos hidup tinggi khususnya guru yang berkhidmat di bandar besar.

“Dalam pengetahuan kita amat kecil bilangan (guru kerja sambilan) dan kebanyakannya untuk menambah pendapatan akibat beban kos hidup, membayar hutang dan terperangkap untuk hidup mewah.

“Namun, masih ramai lagi guru komited dengan profesionnya sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas peringatan diberikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa guru yang ingin melakukan kerja sambilan perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan (KPM) terlebih dahulu.

Menurut surat pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 2 Tahun 2023 berhubung Garis Panduan Permohonan Pekerjaan Luar Bagi Pegawai bawah KPM, mana-mana pegawai perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua jabatan, dua bulan sebelum sebarang pekerjaan sambilan bermula.

Pemohon juga perlu memperoleh markah prestasi tahunan yang tinggi iaitu melebihi 85% dan disahkan jawatan, selain pekerjaan itu perlu dijalankan di luar waktu pejabat dan tidak mengganggu tugas rasmi sebagai penjawat awam.

Menurut pekeliling itu, pegawai awam yang terlibat dalam perniagaan melalui media sosial atau dalam talian adalah disifatkan telah melakukan pekerjaan luar.

Azizee berkata, pekeliling itu bukan bersifat amaran tetapi bagi memastikan warga pendidik sedar terhadap fungsi mereka sebagai guru sehingga tidak menjejaskan tugas rasmi di sekolah.

Beliau turut menasihatkan pendidik patuh kepada garis panduan disediakan bagi memastikan kualiti pendidikan khususnya sekolah bawah KPM tidak terjejas.

Menurutnya, jika peraturan itu tidak dipatuhi dikhuatiri akan menjejaskan fokus mereka kepada tanggungjawab hakiki di sekolah terutama dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Ia akan beri kesan kepada ekosistem pendidikan dan kualiti kerja sebagai guru. Yang akan menjadi mangsa keadaan adalah murid yang perlu bimbingan berterusan daripada guru-guru,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.