
Tidak lama selepas pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kerajaan memperuntukkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2025 sebanyak RM500 bagi penjawat awam gred 15 dan ke bawah, serta kakitangan lantikan kontrak, yang akan menerima bantuan tersebut pada 25 Feb.
Perkembangan ini merupakan berita baik bagi penjawat awam yang ditemui FMT, kerana ia membantu persediaan untuk tiga peristiwa penting tahun ini — sesi persekolahan baharu pada pertengahan Februari, Ramadan pada awal Mac, dan Aidilfitri.

“Sedikit sebanyak ia membantu saya menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah selain keperluan menyambut bulan puasa dan hari raya akan datang,” kata Amirul Mohamad Sazli Kamaruzaman, 32, yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara.
Maklum kemampuan kerajaan memberi bantuan berdasarkan faktor ekonomi, Amirul menyifatkan BKK ini menyuntik semangat pekerja awam.
“Pemberian ini satu inisiatif yang bagus dan menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam,” katanya sambil bertekad menjalankan tugas dengan lebih efektif.
Rakannya, Zamzarina Baharuddin, 32, bersyukur kerajaan memperuntukkan BKK selepas menaikkan gaji penjawat awam baru-baru ini.

“Walaupun jumlah bantuan yang diterima tidaklah besar, namun masih dapat menyumbang dengan peningkatan harga barang keperluan seperti makanan, pakaian, dan yuran sekolah,” katanya, yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pemberian BKK menerusi Belanjawan 2025. Kerajaan turut memanjangkan pemberian kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah, dan RM250 kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen dan tidak berpencen.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai sokongan berterusan kerajaan terhadap penjawat awam.
Presiden Adnan Mat berkata, bantuan ini amat bermakna dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak, sekaligus meringankan beban perbelanjaan keluarga.
“Pemberian ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan penjawat awam terus terpelihara, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.