
Membalas kenyataan Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng yang memintanya merenung mengapa orang bukan Melayu tidak menyukainya, Akmal turut meminta parti itu ‘merenung’ dua kerusi Parlimen dimenanginya.
“Cuba renung juga, dua kerusi (Parlimen) yang kamu menang itu di kawasan apa … takut-takut kamu terlupa, saya ingatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
MCA diwakili di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong, yang juga presiden parti, dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng.
Kedua-dua kawasan itu merupakan kerusi campuran, dengan masyarakat Melayu majoriti pengundi.
Dalam pada itu, Akmal berkata, kelantangannya mempertahankan agama dan bangsa bukanlah kerana hendak disukai, tetapi ‘atas sebab tanggungjawab menjaga kesucian agama dan bangsa’.
“Kamu sentuh dan perlekehkannya, kami akan lawan kamu habis-habisan, tidak kira kamu dari parti apa,” katanya.
Tan dilaporkan sebelum ini membidas tindakan Akmal mengancam untuk menyaman Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang kerana merujuknya dengan nama julukan yang menghina.
Beliau berkata, Akmal harus merenung mengapa orang bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.
“Kata-kata dan tindakan Akmal berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu,” katanya.
Akmal sebelum ini mengecam kenyataan MCA Johor yang mempertikaikan peruntukan disalurkan kerajaan untuk pengedaran al-Quran dan Jakim, serta bantuan untuk rakyat Palestin, mengaitkannya dengan ketiadaan bantuan tol percuma sempena Tahun Baharu Cina.
Beliau turut mengkritik pemimpin MCA Perak yang mengecam pemimpin kerajaan negeri susulan sekatan penjualan arak di Ipoh.