Syarikat perunding turut disiasat berkait kes deposit haram, kata SPRM

Syarikat perunding turut disiasat berkait kes deposit haram, kata SPRM

Azam Baki berkata siasatan turut menjurus sama ada wujud kesalahan ambil deposit secara haram oleh syarikat perunding kewangan didakwa memberi rasuah untuk lulus pinjaman.

Azam Baki berkata SPRM telah membekukan RM80 juta aset milik syarikat terbabit di bawah Op Sky. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat perunding kewangan didakwa melakukan rasuah turut menjurus kepada kesalahan mengambil deposit secara haram.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata syarikat itu telah memudahkan pinjaman untuk individu yang tidak layak meminjam wang daripada institusi kewangan.

Menurutnya, kebanyakkan peminjam terdiri penjawat awam kemudiannya didakwa dinasihat melabur semula dalam syarikat itu yang menimbulkan kebimbangan potensi pengambilan deposit secara haram.

“Ini satu lagi isu kita lihat untuk menentukan sama ada lagi wujud kesalahan undang-undang,” katanya pada sidang media sambil memaklumkan pihaknya telah membekukan RM80 juta aset milik syarikat terbabit di bawah Op Sky.

Pada 21 Jan lalu, SPRM telah membekukan RM22 juta aset dalam siasatan kes itu membabitkan 98 akaun bank di enam bank.

Berhubung tiga selebriti dipanggil untuk memberi keterangan hari ini, Azam berkata akaun mereka tidak dibekukan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa personaliti terkenal terbabit menerima bayaran antara RM150,000 hingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun kerana menjadi duta syarikat terbabit.

Sekurang-kurangnya 27 orang, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank, telah ditahan oleh bahagian anti pengubahan wang haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.