Pegawai kanan Persatuan Hoki Johor dilepas dengan jaminan SPRM

Pegawai kanan Persatuan Hoki Johor dilepas dengan jaminan SPRM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata suspek dilepas ambil kira belum menerima kenyataan sewajarnya daripada pihak penyumbang dana kepada persatuan.

Azam Baki-Pesuruhjaya SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pihaknya menjangka menerima keterangan daripada penyumbang dalam tempoh dua ke tiga hari lagi.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai kanan Persatuan Hoki Johor dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan RM26,603 bagi kegunaan peribadi.

Scoop memetik Ketua Pesuruhjaya Azam Baki sebagai berkata, jaminan diberikan mengambil kira agensi itu belum menerima kenyataan sewajarnya daripada pihak menyediakan dana berkenaan kepada persatuan.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima daripada pegawai SPRM Johor, suspek direman lima hari. Beliau dilepas dengan ikat jamin hari ini memandangkan penyumbang belum tampil mengemukakan keterangan bertulis dan audio.

“Kami memerlukan penyata mereka mengenai sumbangan yang dibuat bagi menyelaraskan laporan kewangan.

“Menjadi prosedur standard bagi kami melepaskan suspek dengan jaminan apabila tiada kenyataan diterima daripada penyumbang,” katanya.

Beliau berkata, kes masih lagi dalam siasatan dengan suspek akan dipanggil semula selepas penyumbang memberi keterangan.

Azam berkata, SPRM dijangka menerima kenyataan diperlukan dalam tempoh dua ke tiga hari lagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (kesalahan kemuka tuntutan palsu). Kami tidak dapat mengulas lanjut atau kemungkinan dapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.