
Anwar berkata sejak 1976, manfaat pembangunan industri minyak dan gas merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur di Sarawak berjumlah melebihi RM280 bilion.
“Petronas telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri,” katanya.
Anwar berkata pada tahun lalu sahaja, Sarawak menerima bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember.
“(Selain itu, Sarawak juga menerima) bayaran cukai jualan sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga 2024 dan dividen sebanyak RM28.6 bilion melalui pegangan saham dalam syarikat Malaysia LNG (MLNG) sehingga Disember 2024, menjadikan jumlah keseluruhan RM96.2 bilion,” katanya.
MLNG, anak syarikat Petronas yang mengendalikan fasiliti pengeluaran gas asli cecair (LNG) di Bintulu, antara kompleks LNG terbesar di dunia. Kerajaan Sarawak mempunyai pegangan saham dalam syarikat tersebut.
Komuniti perniagaan turut meraih manfaat besar daripada industri ini.
Anwar berkata, syarikat vendor yang berdaftar di Sarawak telah mendapat kontrak lebih RM40 bilion sepanjang 10 tahun lalu, memastikan sebahagian besar faedah ekonomi industri O&G kekal dalam negeri.
Kata Anwar, di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini, syarikat petroleum milik negeri itu, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan memainkan peranan lebih besar dalam menguruskan sumber gas Sarawak.
Menurutnya, perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak menyaksikan Petros memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
Selain itu, Anwar berkata Petronas juga menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak dengan lebih RM600 juta dibelanjakan sepanjang 10 tahun yang lalu.
Katanya, dana itu telah membiayai 680,000 rakyat Sarawak melalui biasiswa dan program latihan guru, 4,300 mendapatkan pekerjaan di Petronas dan pelbagai program latihan kemahiran tenaga kerja.
Kerajaan Sarawak sejak sekian lama menuntut lebih kawalan ke atas sumber semula jadinya, termasuk rundingan semula perjanjian berkaitan hasil minyak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).