Hampir 2,000 kandungan lucah diturunkan dalam tempoh 3 tahun

Hampir 2,000 kandungan lucah diturunkan dalam tempoh 3 tahun

Menteri Fahmi Fadzil kata satu pasukan khusus ditubuhkan SKMM untuk memantau iklan bahan lucah di media sosial dan kesalahan lain.

Fahmi Fadzil
3,670 laman sesawang dikenakan tindakan dalam tempoh 2022 hingga 15 Feb, dalam usaha kerajaan memantau kandungan media sosial di media sosial.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan penyedia platform menurunkan hampir 2,000 kandungan media sosial bersifat lucah, dalam tempoh 2022 hingga 15 Feb tahun ini.

“Sebanyak 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak SKMM menurut Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia),” katanya di Dewan Rakyat.

“Manakala 3,670 laman sesawang telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh yang sama,” tambahnya, menjawab pertanyaan Halimah Ali (PN-Kapar) tentang dasar dan langkah kementerian menangani iklan lucah di media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata SKMM menubuhkan satu pasukan khusus untuk memantau iklan bahan lucah di media sosial dan kesalahan lain.

SKMM juga mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Jan 2025.

Langkah itu bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh SKMM, bagi meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna.

Ia antara lain bagi mengatasi isu pengantunan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.