
Beliau yang juga presiden Petronas berkata langkah itu perlu memandangkan peralihan tenaga dan landskap ekonomi global terus berubah, justeru memerlukan pelarasan secara strategik untuk memastikan Petronas kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan.
“Jangka masa untuk menentukan saiz yang tepat bagi Petronas akan dimuktamadkan sebaik sahaja pasukan petugas memuktamadkan penilaian menjelang pertengahan tahun.
“Jadi, pada separuh tahun kedua tahun ini, anda akan melihat ia dilancarkan secara berperingkat,” katanya pada sidang media.
Tengku Taufik berkata proses penstrukturan semula itu akan diuruskan dengan cermat, dan akan memberi kesan pada semua peringkat organisasi, dengan pihak pengurusan menjadi yang pertama akan terkesan.
“Ini bukan tindakan menghapuskan pekerjaan 15,000 hingga 16,000 orang secara sewenang-wenang. Kami akan berhati-hati dan melakukannya secara tersusun untuk memastikan mereka yang kehilangan tempat dilayan secara terhormat dan saksama,” katanya.
Petronas awal bulan ini mengumumkan ia akan melaksanakan langkah ‘penyusunan semula’ untuk memastikan syarikat itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada masa ini, Petronas mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya terdiri daripada pemangkin utama.
Petronas dan Petros tak bermusuhan
Sementara itu, Tengku Taufik menolak sebarang tanggapan bahawa Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bermusuhan.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Petros. Kami sedang menunggu butiran yang akan dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dan Sarawak sebelum meneruskan dengan merealisasikan semua pengaturan kerja,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Akta Kemajuan Petroleum (PDA) mesti kekal sebagai asas kepada sebarang aturan.
“PDA perlu diguna pakai, mesti diguna pakai, dan harus diguna pakai. Sebagai akta persekutuan yang mengawal aktiviti minyak dan gas, ia memudahkan pelaburan yang stabil selama lebih empat dekad,” katanya.
Pada 12 Feb, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan antara Petronas dan Petros mengenai isu hak minyak dan gas di Sarawak.
Beliau berkata masih terdapat beberapa perkara yang mesti dilihat oleh kedua-dua pihak, dan menjangkakan suatu resolusi akan tercapai.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya isu berkaitan hak pengedaran gas di Sarawak antara Petronas dan Petros ditangani dengan sewajarnya, selepas pertemuan dengan Abang Johari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said awal bulan ini melaporkan kepada Parlimen bahawa Sarawak mengiktiraf PDA sebagai akta menentukan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
Petronas juga menerima peranan Petros sebagai agregator gas bukan LNG (gas asli cecair) di Sarawak.