
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan kerajaan, enggan menjawab lima persoalan undang-undang yang dikemukakan kerana dianggap tiada kaitan dengan fakta kes.
Rayuan itu tertumpu pada tafsiran peruntukan tertentu dalam Akta Racun 1952 dan peraturan-peraturannya, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Tengku Maimun berkata, panel mendapati Akta Racun ialah kanun lengkap yang mentadbir semua perkara berkaitan racun, seperti yang digariskan dalam mukadimahnya.
Katanya, Akta Racun digubal dengan niat yang jelas untuk mengawal selia dan menyelia semua urusan melibatkan racun, termasuk penjualan dan pembekalannya.
“Berdasarkan Seksyen 19 dan 21 Akta Racun, terdapat pengecualian nyata membenarkan (pengamal) perubatan profesional berdaftar mendispens racun Kumpulan B, termasuk Ivermectin, menurut pertimbangan profesional mereka, bagi rawatan pesakit,” katanya dalam penghakiman bertulis.
Katanya, rejim preskripsi wujud untuk memastikan pendispensan atau bekalan sedemikian mematuhi undang-undang.
Tengku Maimun juga menyatakan, Akta Jualan Dadah terutamanya menyentuh tentang kesalahan berkaitan penjualan dadah dan kuasa penguatkuasaan pegawai.
“Tiada (peruntukan) langsung dalam Akta Jualan Dadah menyatakan tentang semua cara pengendalian dan urusan racun,” tambahnya.
Beliau berkata, panel juga mengambil maklum bahawa Akta Jualan Dadah tidak merujuk ‘(pengamal) perubatan profesional berdaftar’ dengan cara yang jelas dan boleh difahami seperti bawah Akta Racun.
Sehubungan itu, Tengku Maimun berkata, Akta Jualan Dadah tidak terpakai bagi hak pengamal perubatan berdaftar untuk menjual, membekalkan atau mengeluarkan racun Kumpulan B bawah Seksyen 18, 19, dan 21 Akta Racun.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak boleh bergantung pada Peraturan 7, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik – sebuah perundangan subsidiari – untuk menafikan hak doktor mendispens ubat-ubatan.
“Rayuan itu ditolak dan kami mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan, termasuk perintah yang telah dibuat berhubung kos,” kata Tengku Maimun, yang bersidang bersama Hakim Nallini Pathmanathan dan Nordin Hassan.
Bagaimanapun, beliau memutuskan tiada perintah mengenai kos bagi prosiding di Mahkamah Persekutuan, memandangkan kes itu berkait kepentingan awam yang ketara.
Pada 25 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pengamal perubatan berdaftar dibenar mendispens Ivermectin kepada pesakit untuk rawatan, dengan syarat mereka mematuhi Seksyen 19 Akta Racun dan peraturannya.
Mahkamah Rayuan mengakui hak pengamal perubatan untuk menggunakan pertimbangan profesional mereka ketika mendispens racun Kumpulan B, termasuk Ivermectin, kepada pesakit.
Rayuan kerajaan itu susulan saman pemula yang difailkan oleh Dr S Vijaendran, presiden Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (Maafim), dan Dr Che Amir Farid Che Isahak.
Kes ini timbul selepas pegawai KKM menyerbu klinik Che Amir di Ampang pada 2021, ketika kemuncak wabak Covid-19, berikutan laporan dua pesakit didakwa mengalami keracunan akut dan kesukaran bernafas.
Pegawai KKM merampas Ivermectin yang ditemukan di klinik itu, dengan alasan ia bukan produk berdaftar.
Mereka juga mendakwa, doktor itu tidak dibenarkan secara sah untuk menjual atau mendispens ubat tersebut.
Che Amir kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret kerana menjual serta mendispens dadah itu, dan kes masih berjalan.
Maafim dan Che Amir memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Sept 2021, memohon tafsiran peruntukan tertentu dalam Akta Racun.
Peguam kanan persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim, Liew Horng Bin dan K Saravanan mewakili kerajaan, manakala Gurdial Singh Nijar, Abraham Au, Lim Sze Han dan Vam Shir Moi mewakili doktor-doktor terbabit, selaku peguam.