Ismail dijangka beri keterangan pada SPRM Khamis ini

Ismail dijangka beri keterangan pada SPRM Khamis ini

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata cuti sakit bekas perdana menteri berakhir esok.

ismail sabri yaakob
Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dijadual memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac dan 7 Mac, namun sesi itu tertangguh.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dijadual diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis, kata Ketus Pesuruhjaya Azam Baki.

Azam berkata, cuti sakit Ahli Parlimen Bera itu berakhir esok dan beliau difahamkan penyakit Ismail tidak begitu serius.

“Jika beliau tidak hadir di pejabat pada Khamis, kami ingin tahu alasan apa mahu diberikan,” katanya menurut New Straits Times.

Ismail pengsan di kediamannya pada 22 Feb dan dirawat atas masalah berkaitan tekanan darah tinggi

Sebelum ini, beliau dijadual memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada 5 Mac, namun sesi berkenaan ditangguhkan.

Pada 7 Mac sesi mengambil keterangan sekali lagi ditangguh selepas beliau menghantar sijil sakit.

Jumaat lalu, pegawai SPRM turut menemu bual doktor yang merawat Ismail bagi menilai tahap kesihatannya selepas beberapa kali sijil sakit dikeluarkan.

Sumber SPRM memberitahu sijil sakit Ismail sah hingga 12 Mac dan beliau akan memberi keterangan pada 13 Mac.

Ismail dipanggil sebagai suspek dalam siasatan melibatkan empat pegawai kanannya.

SPRM turut mendedahkan kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai berkenaan serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ‘safe houses’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.