SPRM siasat Ismail Sabri tak jejas imej, kestabilan Umno, kata Zahid

SPRM siasat Ismail Sabri tak jejas imej, kestabilan Umno, kata Zahid

Presiden Umno menegaskan siasatan ke atas bekas perdana menteri itu 'perkara individu'.

ismail sabri yaakob
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dipanggil SPRM sebagai suspek dalam siasatan ke atas empat pegawai kanannya.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno, Zahid Hamidi menepis kebimbangan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob akan menjejaskan imej atau kestabilan parti.

Zahid menegaskan Umno tiada terbabit dalam siasatan itu dan dana disita bukan milik parti.

“Tiada isu kepimpinan atau ahli Umno (terjejas).

“Kami anggap ini kes peribadi, perkara individu,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan memberi amaran parti itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sengaja mengaitkannya dengan kes berkenaan.

Ismail dipanggil sebagai suspek dalam siasatan SPRM ke atas empat pegawai kanan dikaitkan dengannya.

SPRM dilaporkan berkata, kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai dan tiga premis lain dipercayai dijadikan “rumah selamat”.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dilaporkan berkata agensi antirasuah itu sudah mengambil keterangan 23 saksi lain, tambahan kepada 31 saksi yang disoal siasat sebelum ini.

Ahli Parlimen Bera itu dijangka memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabatnya esok, selepas penangguhan pada 5 dan 7 Mac lalu.

Ismail pengsan di rumah pada 22 Feb lalu dan dimasukkan ke hospital disebabkan masalah berkaitan tekanan darah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.