
Ketua Pemuda DAP Kepong, Jefferson Chia, berkata kenyataan berbaur hasutan Ahli Parlimen Marang itu yang mendakwa pemimpin partinya secara terbuka menentang Islam disifatkan tuduhan berbahaya yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Katanya, tindakan segera perlu diambil polis untuk mengelakkan lebih banyak kenyataan ekstrem, berunsur kebencian dan penuh hasutan daripada ahli politik yang sanggup bakar sentimen demi kepentingan sendiri.
“Saya mendesak siasatan segera bawah Seksyen 499, 504, 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta mana-mana peruntukan undang-undang lain yang bersesuaian.
“Negara ini bukan tempat untuk politik toksik. Hadi mesti diheret ke mahkamah dan dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Kepong, semalam.
Rabu lalu, Hadi menerusi tulisan di minda presiden PAS mendakwa berlaku penentangan terhadap Islam secara terbuka oleh DAP dalam isu cadangan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama dua penggal.
Beliau turut menolak cadangan DAP itu yang disifatkan sebagai membelakangi ketetapan Allah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan itu namun mahu ia dibincangkan sebaiknya untuk mendapat persetujuan ramai.