
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata pendirian bekas perdana menteri itu memadam pelbagai persepsi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dalam usaha bangkit selepas catat prestasi buruk pada PRU14 dan PRU15.

Katanya, keraguan pihak tertentu terhadap kesetiaan Ahli Parlimen Bera kepada Umno yang menjadi sebahagian kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim juga dapat dipadam.
“Dakwaan Ismail bersama beberapa Ahli Parlimen ingin menarik sokongan sudah basi dan tidak lagi relevan memandangkan usia kerajaan perpaduan pun telah mencecah lebih dua tahun.
“Penjelasan terbuka itu juga dapat mengelakkan perpecahan dalam Umno yang dalam fasa pemulihan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Sinar Harian melaporkan penafian Ismail berhubung dakwaan tular di media sosial itu yang disifatkannya sebagai cubaan menjejaskan imejnya dan memecahbelahkan hubungan serta menimbulkan kesangsian antara wakil rakyat BN.
Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir turut menafikan dakwaan mengatakan 14 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan penafian terbuka Ismail itu dibuat kerana beliau tidak mahu terpalit gerakan ingin menjejaskan imej Umno dan BN.
“Langkah itu juga secara tidak langsung untuk menutup mulut orang ramai yang kerap melihat beliau sebagai satu liabiliti politik kepada parti,” katanya mencadangkan kem Ismail mewujudkan saluran komunikasi dengan pimpinan.
“Saluran itu bagi mereka saling bertukar idea dan pandangan supaya tidak terputus komunikasi sekali gus bawa aspirasi perjuangan parti,” katanya.