Cubaan seludup dadah lebih RM11 juta gagal

Cubaan seludup dadah lebih RM11 juta gagal

Kastam pintas sampan bawa dadah dari perairan Thailand ke kawasan Kuala Perlis.

Ismail Hashim
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 363kg bernilai RM11,616,000 semasa melakukan rondaan laut di kawasan perairan Kuala Perlis, Isnin lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata rampasan dadah itu dibuat daripada sebuah sampan gentian tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak laju dari perairan Thailand ke kawasan perairan Kuala Perlis menuju ke Sungai Baru oleh sepasukan anggota kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata, pasukan itu memintas sampan berkenaan dan mengarahkannya berhenti, tetapi tidak diendahkan sebaliknya ia terus dipecut laju ke kawasan cetek.

“Pasukan kemudian menemukan sampan itu ditinggalkan di kawasan perairan Sungai Siput, Kuala Perlis. Jurumudi serta beberapa orang lain di dalam sampan terbabit disyaki melarikan diri ke daratan.

“Hasil pemeriksaan terhadap sampan itu menemukan 18 guni putih dan satu guni hijau yang mengandungi bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis.

Ismail berkata, pihaknya turut menyita sampan itu bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM85,000 selain rampasan dadah berkenaan.

“Modus operandi sindiket dipercayai menyeludup dadah pada awal pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa dan bekalan dadah dipercayai untuk pasaran seluruh Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.