Keputusan berhemat, penting MAG tempah Boeing, kata pakar

Keputusan berhemat, penting MAG tempah Boeing, kata pakar

Pengasas bersama badan pemikir pengangkutan menolak gesaan membatalkan pembelian Boeing 737 kerana pemodenan armada MAG berkaitan kelangsungan hidupnya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan MAG menempah 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10 yang akan dihantar menjelang 2030. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir pengangkutan dan seorang pakar penerbangan menolak gesaan untuk Malaysia Aviation Group (MAG) membatalkan rancangan pemerolehan 30 pesawat Boeing 737 atas dakwaan kaitan dengan Israel.

Rahman Hussin, pengasas bersama badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, berkata pemodenan armada MAG yang merangkumi syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines dan Firefly, berkaitan kelangsungan hidupnya, bukan sekadar menaik taraf.

Beliau berkata, pasaran penerbangan Asia Tenggara berkembang pesat dan diunjurkan meningkat lebih tiga kali ganda dalam masa 20 tahun, tetapi armada semasa MAG ketinggalan kira-kira 15 tahun daripada pesaingnya.

“Memilih pesawat jarak jauh yang cekap bahan api seperti Boeing 737-8/10 bukan sahaja berhemat; ia penting untuk meneroka pasaran baharu yang menguntungkan seperti Ahmedabad di India dan Chengdu di China.

“Sebarang keraguan ketika ini berisiko kehilangan relevansi pasaran dan daya saing ketara,” katanya kepada FMT.

Rahman mengakui dimensi etika terhadap Boeing tidak boleh diabaikan kerana kebimbangan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia menimbulkan dilema tulen.

Tetapi, tegasnya “etika perlu diimbangi realisme ekonomi” dan memberi amaran kesan berantai daripada membatalkan semua perjanjian dengan Boeing.

“Walaupun menarik dari segi moral, ia boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi tempatan. Bahagian pesawat komersial Boeing kini menyokong 43 pembekal Malaysia dan lebih 1,200 pekerjaan tempatan berkemahiran tinggi.

“Kepimpinan beretika bermaksud menggunakan tekanan dikira ke atas syarikat multinasional tanpa mengambil tindakan performatif yang boleh merosakkan pekerjaan domestik secara tidak sengaja. Menangani isu rumit memerlukan lebih banyak keberanian berbanding mencari perhatian.”

Pakar penerbangan Germal Singh Khera mempersoalkan alternatif lain untuk MAG, jika ia membatalkan perjanjian Boeing dan tidak memilih Airbus, yang turut dituduh meraih keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Beliau berkata, syarikat penerbangan perlu mempertimbangkan isu penghantaran dan integrasi armada apabila membuat keputusan perniagaan sedemikian kerana membatalkan kontrak Boeing ketika ini akan membawa masalah kepada MAG.

“Ia mungkin isu rumit untuk MAG, dengan mengambil kira keperluan mereka mempunyai pesawat tambahan bagi tujuan penggantian dan pengembangan. Ia akan menjadi keputusan sukar untuk membuat pertimbangan komersial berbanding politik.

“Satu lagi faktor penting untuk MAG dan kerajaan pertimbangkan ialah kemungkinan hilang bayaran deposit dan penalti kewangan atas pembatalan. Ia boleh memberi kesan besar kepada kewangan MAG.”

Bulan lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan MAG menempah 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10 yang akan dihantar menjelang 2030.

MAG juga mempunyai pilihan memperoleh tambahan 30 pesawat daripada Boeing, di mana harga pesawat berkenaan akan dikunci pada kontrak semasa dengan pelarasan minimum.

Sekumpulan NGO diketuai BDS Malaysia kemudian menggesa Putrajaya membatalkan perjanjian dengan Boeing dan menghentikan semua pembabitan syarikat itu atas dakwaan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh Israel.

Rahman berkata, cara realistik adalah merunding semula perjanjian itu secara tegas dengan Boeing, khasnya menggesa syarikat terbabit membuat komitmen nyata kepada projek kemanusiaan atau infrastruktur di zon konflik.

Katanya, MAG perlu mempelbagaikan armadanya dengan membuat pesanan antara Boeing, Airbus atau Comac, Commercial Aircraft Corporation of China, yang akan meningkatkan daya tahannya sambil mencerminkan pendirian berprinsip Malaysia.

“Akhir sekali, melaburkan semula penjimatan daripada armada cekap bahan api dengan memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan Malaysia sendiri akan mengukuhkan lagi ekonomi tempatan serta daya tahan industri.”

Beliau berkata, MAG perlu kekal berwaspada dengan Boeing atas kesilapan industri lampau membabitkan pesawat 737 MAX.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.